Salam semua,
Melarik mangkok, sebagaimana yang diketahui, adalah memusingkan kayu dan mengukirnya menjadi sebuah mangkok dengan menggunakan mesin yang dikenali sebagai mesin larik atau 'lathe machine'.
Kayu yang bakal digunakan hendaklah cukup kering sebelum sesuatu projek dimulakan. Bagi mendapatkan kayu yang akan digunakan dalan projek ini, kita bolehlah mendapatkannya di kilang-kilang papan berdekatan, kedai-kedai 'hardware' yang ada menjual kayu ataupun mendapatkannya sendiri di belukar berdekatan rumah atau pergi ke hutan. Kayu yang akan digunakan tidak perlu terlalu panjang kerana ini akan menyukarkan dari segi pengangkutan, cukup sekadar lebih kurang 2-4 kaki panjang. Mendapatkan kayu di kilang-kilang papan dan kedai-kedai 'hardware' tidak sukar, tetapi apa yang penting ialah pemerhatian kita kepada urat-urat kayu yang terdapat pada kayu itu. Ini adalah supaya kita mendapat hasil yang unik dan cantik apabila mangkok yang dilarik siap nanti. Manakala jika kita mencarinya sendiri di belukar-belukar dan hutan berdekatan tempat tinggal kita, ini adalah lebih mudah kerana terlalu banyak pokok-pokok kayu yang telah mati/tumbang dan kita hanya perlu memotongnya untuk dibawa balik. Apa yang penting ialah kita perlu memeriksa akan implikasi dari segi perundangan perhutanan kerana ada jenis-jenis kayu yang memerlukan kelulusan Jabatan Perhutanan sebelum boleh dibawa keluar.
Jenis-jenis kayu yang boleh digunakan untuk projek larik ini dan didapati amat sesuai serta cantik antaranya ialah, kemuning, leban, seribu bunga, kayu arang, rengas, sepetir, balau, sena, manggis, ciku, nangka, cempedak dan banyak lagi. Terpulang kepada daya kreatviti masing-masing untuk memberikan hasil kerja terbaik sama ada untuk kepuasan diri sendiri mahu pun untuk tujuan membuat jualan. Saya amat meminati kecantikan hasil kayu jenis pokok kayu arang, rengas dan sepetir. Ini kerana urat-urat kayu yang terdapat pada kayu jenis ini amat menakjubkan dan sekiranya ia cukup tua atau masak, sudah pastinya urat-urat kayu itu akan mengeluarkan cahaya yang bersinar apabila mendapat sinaran lampu setelah kerja-kerja 'polishing' siap. Cuba buat dan anda pasti akan dapat melihatnya atau paling mudah cuba lihat di kedai-kedai yang ada menjual sarung parang di tempat anda. Jangan lupa untuk bertanyakan kepada penjual akan jenis kayu yang digunakan.
Baiklah setakat ini untuk kali ini, berjumpa lagi.
Monday, October 26, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)